540 warga RTM sertai Pesta Sukan peringkat kebangsaan di KK

KOTA KINABALU: Seramai 540 warga RTM dari seluruh negara akan menyertai Pesta Sukan RTM peringkat kebangsaan ke-10 di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas selama empat hari bermula esok (22 Sept).

Pengerusi Majlis Sukan Jabatan Penyiaran Malaysia Abdul Wahid Abdul Hamid berkata 11 acara akan dipertandingkan sepanjang temasya sukan dwi-tahunan itu.

Ini termasuk acara bola jaring, bola sepak, bola tampar, sepak takraw, badminton, dart, karom, catur, bowling, futsal dan ping pong, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Wahid berkata kejohanan itu mempertemukan atlet RTM mewakili enam zon iaitu zon Sabah, zon Sarawak, Timur, Utara, Tengah dan Selatan.

Katanya sukan RTM itu, antara lain, bertujuan meningkatkan semangat perpaduan dan kerjasama, selain memupuk semangat kesukanan warga penyiaran RTM.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jalani Johari akan merasmikan kejohanan tersebut pada kira-kira pukul 3 petang esok, katanya.