Projek Program Perumahan Rakyat akan dibina di Putatan

PUTATAN, 18 Januari, 2013: Kerajaan telah meluluskan pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Putatan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

Katanya, lebih 1,000 unit PPR akan didirikan untuk membantu golongan rakyat berpendapatan rendah disamping  mengurangkan masalah setinggan.

“Projek PPR ini akan dimulakan dalam tempoh yang terdekat. Justeru, saya berharap rakyat tempatan di Putatan khususnya yang masih tinggal di setinggan akan merebut peluang membeli rumah PPR ini”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Dumpil, semalam.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Putatan, Ir.Shahelmy OKK Yahya, Pemangku Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian, Puan Juriah Palasin, Setiausaha UMNO Bahagian Putatan, Encik Ishar Ramli, Ketua Anak Negeri, Haji Karim Awang, Ketua Kampung Meruntum, Encik Amin Motai, Ahli-ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian dan pemimpin masyarakat setempat.

Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas berkata, pembinaan PPR di Putatan membuktikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin terhadap nasib dan masa depan golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya menerusi projek PPR, rakyat akan berpeluang memiliki rumah yang lebih selesa dan selamat.

“Saya mahu rakyat di Putatan yang layak dan mampu agar tidak mensia-siakan peluang keemasan ini untuk memohon dan seterusnya memiliki rumah PPR ini”, tegasnya.

Yahya berkata, kerajaan BN menerusi Program Bantuan Rumah turut membina rumah baru untuk rakyat yang miskin dan tidak memiliki rumah disamping bantuan memperbaiki rumah-rumah yang uzur.

Justeru, katanya rakyat perlu terus mempertahankan kerajaan BN yang terbukti sentiasa mendengar suara rakyat dan mengutamakan keperluan mereka.

Sebaliknya menurut Yahya, parti pembangkang hanya sibuk menghasut rakyat dengan propaganda bahawa amalan pilihan raya di Malaysia tidak bebas dan tidak adil.

“Sekiranya pilihan raya di Malaysia tidak bebas dan adil, sudah pasti parti pembangkang tidak akan menang di beberapa buah negeri seperti di Kelantan, Selangor dan lain-lain”, tegasnya.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri turut menyampaikan sumbangan RM2000 untuk Surau Kampung Dumpil disamping menunaikan beberapa permintaan penduduk kampung seperti keperluan kerusi dan tiang eletrik.

Yahya (tiga kanan) menyampaikan sumbangan untuk surau kepada KK Amin Motai di majlis itu.

Yahya (tiga kanan) menyampaikan sumbangan untuk surau kepada KK Amin Motai di majlis itu.

  • izwanday suel

    saya sokong sepenuhnya. tapi masalah saya. sudah lama saya tinggal di kawasan putatan tapi hanya mwnyewa saja…. apply rumah kos rendah pun x pernah dapat2.